Zahid: Kehadiran Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN Keputusan Bersama, Bukan Eksklusif Malaysia
- E. Guan
- Oct 6, 2025
- 1 min read
Kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur hujung bulan ini bukan keputusan tunggal Malaysia sebagai tuan rumah, sebaliknya hasil persetujuan bersama semua negara anggota ASEAN.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menjelaskan bahawa Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN menghormati keputusan sebulat suara yang dicapai oleh kesemua 10 pemimpin rantau itu.
Beliau menegaskan bahawa meskipun Malaysia menghormati keputusan tersebut, pendirian negara tetap konsisten dalam menolak sebarang bentuk campur tangan Amerika Syarikat dalam isu Gaza dan Palestin.“Trump merupakan Presiden Amerika Syarikat, namun itu tidak menghalang kita daripada menyatakan ketidaksetujuan sekiranya terdapat campur tangan Amerika dalam isu Gaza dan Palestin. Pendirian Malaysia kekal tegas,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Skuad Yayasan Pelajaran MARA Peringkat Negeri Johor 2025 di Arena Larkin, Johor Bahru.
Ahmad Zahid turut menyatakan bahawa isu berkaitan kehadiran Trump berkemungkinan akan dibangkitkan dalam sidang Parlimen yang bermula esok.“Mereka (Ahli Parlimen) bebas mempunyai pandangan berbeza, namun kita mesti menghormati keputusan Sekretariat ASEAN,” tambahnya.







Comments