Bahagian Kecemasan Penuh: Gelombang Influenza Melanda Hospital Awam
- E. Guan
- Oct 13, 2025
- 1 min read
Bahagian Kecemasan (ED) di hospital awam kini berdepan kesesakan luar biasa, terutama melibatkan kanak-kanak yang menunjukkan gejala influenza sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Pegawai farmasi hospital awam, Fatin Nasuha Azizi, berkata lonjakan kes secara mendadak memaksa pihak farmasi menambah stok ubat antivirus Tamiflu dengan banyak bagi menampung peningkatan permintaan. Menurutnya, ramai ibu bapa datang membawa anak mereka ke ED untuk rawatan segera kerana hampir semua menunjukkan tanda jangkitan influenza.
KKM menjelaskan bahawa influenza bukan sekadar selesema ringan kerana ia boleh membawa komplikasi serius seperti radang paru-paru, sawan dan kematian, terutama dalam kalangan kanak-kanak kecil, warga emas dan individu yang mempunyai sistem imun lemah. Penyakit ini mudah merebak melalui titisan pernafasan apabila pesakit batuk atau bersin, menjadikan kawasan awam seperti sekolah, pusat beli-belah dan pengangkutan awam berisiko tinggi.
Fatin Nasuha menegaskan langkah pencegahan kekal sebagai cara terbaik untuk mengekang penularan virus. Antara langkah disarankan ialah memakai pelitup muka di tempat awam, mencuci tangan dengan sabun atau pembasmi kuman, menjaga jarak fizikal, dan menutup mulut serta hidung ketika batuk atau bersin menggunakan tisu atau sapu tangan.
Beliau turut menggalakkan pengambilan vaksin influenza, terutama menjelang musim penularan, kerana virus ini sering berubah secara genetik. Justeru, vaksin perlu diambil setiap tahun bagi mengekalkan keberkesanan terhadap varian baharu. Tambahnya, vaksin memerlukan kira-kira dua minggu untuk membentuk imuniti, membantu sistem pertahanan badan menghasilkan antibodi bagi melawan virus apabila terdedah kepada jangkitan.
Walaupun vaksin tidak memberi perlindungan sepenuhnya, ia berkesan mengurangkan risiko jangkitan teruk, kemasukan ke hospital dan kematian akibat komplikasi. “Lindungi yang tersayang. Jangan tunggu hingga anak dimasukkan ke ED baru mahu bertindak,” pesannya sambil menegur masyarakat agar tidak memandang ringan penyakit ini.







Comments