Penganjur Pelayaran Solidariti Mohon Maaf Isu Bendera Israel
- E. Guan
- Oct 13, 2025
- 1 min read
Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia memohon maaf berhubung insiden pengibaran bendera Israel semasa Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza yang diadakan pada Jumaat lalu.
Pengarah program, Mohd Khairul Hafiz Hassan, menjelaskan bahawa tindakan itu merupakan sebahagian daripada gimik persembahan bagi melakonkan semula kejadian yang menimpa sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF), dan bukannya tindakan berunsur provokasi.
“Saya memohon maaf sekiranya ada pihak yang tersalah faham terhadap gimik persembahan tersebut. Saya juga bertanggungjawab sepenuhnya atas penganjuran ini dan bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk siasatan,” katanya dalam video berdurasi 3 minit 22 saat yang dimuat naik di TikTok pada malam Ahad.
Video berkenaan meraih lebih 123,000 tontonan dan hampir 600 komen daripada pengguna media sosial.
Sebelum ini, laporan Sinar Harian pada Ahad menyebut bahawa pengibaran bendera Israel dalam program anjuran bersama Komuniti Floating Market Sri Tanjung itu hanyalah sebahagian daripada lakonan semula insiden yang melibatkan sukarelawan GSF. Namun, tindakan tersebut mengundang kecaman ramai selepas rakaman video persembahan itu tular di media sosial.
Mohd Khairul menegaskan bahawa gimik berkenaan tidak mempunyai sebarang niat jahat atau tujuan untuk menyinggung mana-mana pihak. Beliau juga menyeru orang ramai agar tidak menilai berdasarkan klip video pendek di media sosial semata-mata, sebaliknya memahami konteks sebenar persembahan.
“Mereka yang hadir ke lokasi tahu apa sebenarnya berlaku. Bendera Israel itu dikibarkan semata-mata untuk menggambarkan situasi yang dihadapi sukarelawan ketika misi menghantar bantuan ke Palestin,” jelasnya.







Comments