top of page

MMA Gesa Mansuh Subsidi Gula, Naik Elaun Doktor dan Perkukuh Sistem Kesihatan dalam Belanjawan 2026

  • E. Guan
  • Oct 6, 2025
  • 2 min read

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan supaya memansuhkan subsidi gula dan memperluaskan pelaksanaan cukai minuman bergula dalam pembentangan Belanjawan 2026 yang dijadual pada 10 Oktober ini.


Presidennya, Datuk Dr Thirunaukarasu Rajoo, berkata langkah tersebut bukan sahaja dapat mengurangkan pengambilan gula berlebihan dalam kalangan rakyat, tetapi juga membolehkan penjimatan hasil digunakan untuk memperkukuh sektor kesihatan negara.


Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, kadar diabetes di Malaysia kini berada pada tahap membimbangkan dan dijangka meningkat daripada 3.9 juta penghidap pada 2019 kepada 7 juta menjelang 2025.


MMA turut mencadangkan agar yuran pendaftaran di klinik rawatan primer awam dinaikkan daripada RM1 kepada RM5, manakala di klinik pakar awam daripada RM5 kepada RM25 — dengan pengecualian penuh dikekalkan untuk pesakit daripada golongan B40.“Penjagaan kesihatan perlu dilihat sebagai pelaburan untuk masa depan negara, bukan semata-mata perbelanjaan,” tegas beliau.


Dalam masa sama, MMA mengulangi gesaan agar semua doktor kontrak diserap ke jawatan tetap serta elaun bertugas dinaikkan bagi mencerminkan beban kerja dan tanggungjawab mereka.“Masa ini, kadar elaun hanya RM9.16 sejam. MMA mencadangkan kadar baharu RM25 sejam sebagai nilai yang lebih munasabah,” katanya.


Bagi agenda digitalisasi dan pencegahan penyakit, MMA mencadangkan penyeragaman rekod pesakit, penambahbaikan aplikasi MySejahtera, serta peluasan saringan penyakit tidak berjangkit (NCD) di klinik swasta, termasuk penglibatan pengamal perubatan am (GP) dalam program imunisasi dan saringan kesihatan.“Belanjawan harus memperuntukkan dana bagi membiayai saringan pencegahan di klinik swasta dan menutup jurang bayaran antara GP dan klinik kerajaan bagi memperluas akses rakyat kepada rawatan,” tambahnya.


Penjagaan warga emas turut menjadi tumpuan MMA, termasuk pelaburan dalam perkhidmatan penjagaan di rumah, penambahan pakar geriatrik, kemudahan mesra warga emas, serta insentif subsidi dan skim insurans mikro.MMA menegaskan keperluan memperkukuh kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memastikan kesinambungan sistem penjagaan kesihatan negara.

Comments


bottom of page