UNESCO Iktiraf Kinabatangan, Sabah Kini Miliki Dua Tapak Rizab Biosfera
- E. Guan
- Sep 29, 2025
- 1 min read
UNESCO telah mengiktiraf Kinabatangan sebagai tapak rizab biosfera terbaharu di Malaysia. Menurut kenyataan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), pengumuman tersebut dibuat dalam mesyuarat Majlis Penyelaras Antarabangsa Program Manusia dan Biosfera (MAB) di Hangzhou, China pada 27 September lalu.
Malaysia kini mempunyai dua rizab biosfera di Sabah di bawah program MAB, iaitu Kinabatangan serta Banjaran Crocker yang berjaya mengekalkan statusnya selepas melalui penilaian semakan berkala 10 tahun sejak 2014. NRES merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Sabah, komuniti setempat dan semua pihak yang terlibat dalam pengurusan kawasan biodiversiti ini, serta mengalu-alukan usaha untuk mencalonkan lebih banyak kawasan berpotensi pada masa akan datang.
Rizab biosfera Kinabatangan meliputi kawasan seluas 413,866 hektar dan menjadi habitat penting kepada 315 spesies burung, 100 reptilia, 33 amfibia, 127 mamalia serta lebih 1,000 spesies tumbuhan vaskular. Kawasan ini turut melindungi spesies endemik, jarang ditemui dan terancam seperti orang utan (Pongo pygmaeus), gajah borneo (Elephas maximus borneensis), monyet belanda (Nasalis larvatus), beruang matahari (Helarctos malayanus) serta lapan spesies burung enggang Sabah.
Selain Kinabatangan dan Banjaran Crocker, Malaysia juga mempunyai dua lagi tapak rizab biosfera UNESCO, iaitu Tasik Chini di Pahang (2009) dan Bukit Bendera di Pulau Pinang (2021).



Comments