top of page

Tengku Permaisuri Selangor Titah UiTM Perlu Terus Kekal Dengan Peranan Asalnya

  • Writer: Camelia K
    Camelia K
  • Sep 3
  • 2 min read

SHAH ALAM, 3 Sept – Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menegaskan bahawa tiada pihak harus mempersoal atau mencabar peranan asal Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang ditubuhkan demi memperkasa pendidikan tinggi untuk kaum Melayu dan bumiputera.


Bertitah sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-102 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), baginda menyifatkan universiti itu sebagai lambang jati diri dan kecemerlangan bangsa yang perlu terus dipertahan selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.


“Penubuhan UiTM adalah satu sejarah istimewa yang tidak wajar dikompromi. Ia diwujudkan untuk melindungi hak orang Melayu, Orang Asli dan anak negeri Sabah dan Sarawak,” titah baginda selaku Pro-Canselor universiti berkenaan.


Titah baginda hadir ketika institusi itu meraikan 24,643 graduan yang menamatkan pengajian mereka tahun ini. Pada majlis berkenaan, Tengku Permaisuri turut mengurniakan ijazah kepada 237 penerima peringkat sarjana dan doktor falsafah.


Dalam ucapannya, Tengku Permaisuri Norashikin turut mengingatkan para graduan agar tidak berhenti menuntut ilmu meskipun telah menamatkan pengajian, malah menyeru generasi muda untuk menjadikan pendidikan sebagai agenda utama hidup dan pembangunan negara.


“Pendidikan bukan semata-mata untuk memenuhi pasaran pekerjaan. Ia adalah wadah membina insan yang berakhlak, berilmu dan berjiwa merdeka,” titah baginda.


Baginda turut menegaskan pentingnya kawalan kendiri dalam keterbukaan media sosial yang boleh mengundang fitnah, berita palsu dan perpecahan.


“Sama seperti rumah yang kita bina dengan titik peluh, jika roboh, kita sendiri yang kehilangan tempat berteduh. Negara ini juga begitu. Hargailah keamanan dan kemajuan yang kita kecapi hari ini,” titahnya lagi.


Istiadat konvokesyen kali ini akan berlangsung sehingga 20 September di Shah Alam, sebelum diteruskan di kampus Samarahan, Sarawak (17–18 Sept) dan kampus Kota Kinabalu, Sabah (8–9 Okt).


Tengku Permaisuri turut menyampaikan ucapan tahniah khas kepada pensyarah Fakulti Sains Gunaan, Dr Ahmad Sazali Hamzah yang menerima pengiktirafan Profesor Emeritus atas sumbangan besarnya dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.

Comments


bottom of page