Suami Isteri Dipenjara Enam Bulan Kerana Tinggalkan Bayi di Gerai Makan
- Adi Dit
- Aug 12, 2025
- 1 min read
BATU PAHAT – Sepasang suami isteri dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Yong Peng hari ini selepas mengaku bersalah meninggalkan bayi perempuan mereka yang baru dilahirkan di sebuah gerai makan, hujung tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Aiman Kamalludin, 23, seorang kelindan lori, dan isterinya, Nurelly Fazreen Mohamad Mosnin, 22, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Mengikut pertuduhan, kedua-duanya sebagai ibu bapa, meninggalkan bayi dalam kotak berbalut kain batik dengan niat membuangnya di sebuah kedai makan di kawasan perindustrian Taman Kota Yong Peng antara jam 2.15 petang pada 15 Disember hingga 5 pagi keesokan harinya.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, seorang peniaga gerai makan berusia 43 tahun menemui bayi perempuan itu di kawasan meletak lauk sebelum membuat laporan polis. Penemuan itu turut tular di media sosial.
Hasil siasatan mendapati ibu kepada salah seorang tertuduh mengenali kain batik yang digunakan untuk membalut bayi, lalu membawa kepada penangkapan pasangan tersebut. Ketika kejadian, mereka belum berkahwin, namun telah bernikah pada Februari lalu.
Ujian DNA mengesahkan bayi berkenaan mempunyai padanan darah dengan kedua-dua tertuduh. Siasatan lanjut mendapati Nurelly melahirkan bayi itu di dalam bilik rumahnya pada jam 2.15 petang, sebelum bersama suami membuangnya di lokasi kejadian.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, mengendalikan pendakwaan, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa mulai tarikh sabitan hari ini.



Comments