Stok Minyak Sawit Malaysia Cecah 20 Bulan Tertinggi, Harga MSM Dijangka Tertekan
- A. Zahid
- Sep 11, 2025
- 2 min read
Stok simpanan minyak sawit Malaysia melonjak ke paras tertinggi sejak 20 bulan lalu apabila mencecah 2.20 juta tan pada Ogos 2025. Peningkatan ini dijangka memberi tekanan kepada harga minyak sawit mentah (MSM) dalam tempoh terdekat.
Menurut laporan penyelidikan Maybank Investment Bank, kenaikan stok sebanyak empat peratus berbanding bulan sebelumnya dan 17 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu didorong oleh pengeluaran bermusim yang kukuh. Pada Ogos sahaja, pengeluaran mencapai 1.86 juta tan — paras tertinggi dalam tempoh 12 bulan.
Bagaimanapun, prestasi eksport tidak seiring dengan pertumbuhan pengeluaran. Jumlah eksport kekal pada 1.32 juta tan, merosot 14 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Malah, tinjauan awal bagi 10 hari pertama September juga menunjukkan eksport masih lemah.
Penganalisis Maybank, Ong Chee Ting, menjangkakan stok simpanan boleh terus meningkat melepasi paras 2.30 juta tan menjelang akhir September jika trend eksport semasa berterusan. “Memandangkan pengeluaran minyak sawit dijangka kekal tinggi untuk satu hingga dua bulan akan datang, harga MSM akan terus ditekan dalam jangka pendek,” jelas laporan itu.
Keadaan ini bagaimanapun dijangka menjadikan minyak sawit lebih kompetitif di pasaran global, sekali gus merangsang permintaan. Faktor cuaca yang baik turut menyokong pengeluaran sawit di Malaysia, manakala kebimbangan mengenai jerebu rentas sempadan berkurangan selepas Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) menurunkan tahap amaran pada 12 Ogos lalu.
Di peringkat antarabangsa, cuaca baik di Amerika Syarikat juga dijangka menghasilkan tuaian kukuh bagi tanaman kacang soya dan jagung. Jabatan Pertanian AS (USDA) mengunjurkan pengeluaran jagung pada paras rekod tertinggi, manakala hasil kacang soya kekal besar. Keadaan ini menambah bekalan minyak sayuran global dan mewujudkan persaingan sengit kepada minyak sawit.
Secara keseluruhannya, Maybank Investment Bank mengekalkan pendirian ‘NEUTRAL’ terhadap sektor perladangan, dengan menekankan bahawa harga MSM akan terus dipengaruhi oleh dinamika pengeluaran dan eksport dalam beberapa bulan mendatang.



Comments