Sembilan Inisiatif Baharu Angkat Kebajikan & Pembangunan Orang Asli Johor
- E. Guan
- Aug 25
- 1 min read
Kerajaan Negeri Johor terus menunjukkan komitmen terhadap komuniti Orang Asli dengan memperuntukkan lebih RM3.8 juta bagi melaksanakan sembilan inisiatif baharu yang merangkumi aspek kebajikan, pendidikan, infrastruktur dan pembangunan sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Datuk Zahari Sarip menegaskan, langkah ini membuktikan masyarakat Orang Asli seramai lebih 18,000 orang di Johor tidak diketepikan dalam arus pembangunan negeri yang semakin pesat.
“Kerajaan negeri mahu memastikan semua lapisan masyarakat berpeluang untuk maju. Bagi Orang Asli, pelbagai sokongan khusus disediakan supaya mereka turut menikmati manfaat pembangunan secara inklusif,” katanya menerusi Facebook.
Antara bantuan yang diberikan termasuk bayaran tunai one-off RM200 kepada 5,041 ketua isi rumah dengan jumlah lebih RM1 juta, serta agihan bakul makanan bernilai RM100 bagi setiap keluarga. Dalam bidang pendidikan, sebanyak 73 mahasiswa Orang Asli menerima komputer riba baharu bernilai keseluruhan RM182,500 untuk menguasai kemahiran digital dan meningkatkan prestasi akademik.
Selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan geran khas RM10,000 kepada 60 kampung Orang Asli bagi pengurusan serta aktiviti komuniti, di samping RM735,000 untuk baik pulih dan naik taraf 49 dewan serta balai raya. Dari sudut keagamaan, 37 masjid dan surau menerima sumbangan RM10,000 setiap satu, manakala 44 kemudahan sukan dinaik taraf dengan dana RM440,000 untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan belia.
Bagi mengiktiraf kepimpinan tradisional, seramai 46 Tok Batin turut menerima bantuan tunai one-off RM300 setiap seorang. Pada masa sama, kerajaan negeri juga menubuhkan Jawatankuasa Khas Komuniti Orang Asli Johor sebagai badan penyelaras inisiatif pembangunan meliputi bidang ekonomi, pendidikan, kesihatan dan pemeliharaan warisan budaya.







Comments