top of page

RMK13: Sektor Strategik Raih Manfaat, Bursa Malaysia Bersedia Melonjak

  • E. Guan
  • Aug 4
  • 2 min read

Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dijangka memainkan peranan penting dalam mengukuhkan Bursa Malaysia melalui pendekatan dasar jangka sederhana yang menyeluruh serta menekankan pelaksanaan yang efektif.


Menurut Ketua Penyelidikan Pelaburan di UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan, RMK13 bukan hanya sekadar pelan pembangunan lima tahun, tetapi merupakan pelan tindakan berperingkat yang menyediakan arah yang jelas untuk pemacu pertumbuhan baharu negara dalam era pasca-pandemik dan pasca-globalisasi.


“Antara komponen paling signifikan kepada pasaran modal termasuk tumpuan kepada pelaburan awam strategik, pemerkasaan ekonomi digital serta peralihan kepada tenaga boleh baharu. Langkah-langkah ini memberi kesan langsung kepada sektor tersenarai seperti utiliti, telekomunikasi, tenaga, teknologi dan pembinaan,” katanya.


Syarikat dalam sektor-sektor ini dijangka menerima manfaat langsung daripada dasar-dasar tersebut, sekali gus membuka potensi pertumbuhan yang lebih luas dalam pasaran ekuiti tempatan.


Selain itu, RMK13 turut menekankan penstrukturan semula fiskal dan reformasi subsidi – dua aspek penting dalam menjamin kestabilan makroekonomi jangka panjang. Kepastian dasar fiskal ini sangat penting untuk menarik minat pelabur institusi besar termasuk dana kekayaan negara (SWF), institusi kewangan antarabangsa dan syarikat multinasional.


“Dengan defisit fiskal yang diunjurkan menyusut secara berperingkat, Malaysia berpeluang meningkatkan profil kredit negara serta menarik minat pelabur dalam pasaran ekuiti dan hutang serantau,” tambah beliau.


Dalam masa sama, sasaran pelaburan RM1.5 trilion dalam lima tahun menunjukkan komitmen kerajaan untuk menggalakkan penyertaan sektor swasta dan pelabur institusi dalam pembangunan ekonomi, tidak hanya bergantung kepada pelaburan awam.


Usaha ini dijangka menggalakkan pertumbuhan penyenaraian awam awal (IPO), penstrukturan semula korporat GLC serta kemunculan syarikat baharu dalam sektor hijau, teknologi dan infrastruktur — sekaligus memperluaskan asas Bursa Malaysia dari segi bilangan syarikat dan pelabur.


“RMK13 membekalkan kerangka dasar yang diperlukan untuk membina ekosistem pelaburan yang lebih kukuh, mampan dan inklusif. Ia juga memberi landasan bagi pemulihan nilai pasaran serta memulihkan keyakinan terhadap pasaran modal tempatan selepas tempoh kelembapan yang panjang,” katanya lagi.

Comments


bottom of page