Polis Tumpas Sindiket Syabu Bernilai RM13.6 Juta di Lembah Klang
- Camelia K
- Aug 20, 2025
- 2 min read
SHAH ALAM – Satu sindiket pengedaran dadah tumpas susulan rampasan besar-besaran 425.25 kilogram syabu bernilai RM13.6 juta dalam operasi khas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada 18 Ogos lalu.
Lima lelaki tempatan berusia antara 33 hingga 64 tahun ditahan dalam empat serbuan berasingan sekitar Puchong dan Sri Petaling. Sindiket ini dipercayai aktif sejak Jun lalu dan menjadikan rumah teres sebagai stor simpanan sebelum mengedarkan dadah ke pasaran tempatan dan luar.
Serbuan pertama di tempat letak kereta Pusat Bandar Puchong menemui lebih 100 kilogram syabu disorokkan dalam sebuah kereta. Serbuan susulan di Lebuhraya Damansara-Puchong menemukan sejumlah kecil syabu di sebuah rumah. Serbuan ketiga di sebuah restoran membawa kepada rampasan lebih 320 kilogram syabu dalam sebuah rumah teres. Serbuan terakhir di kawasan parkir LRT Sri Petaling membawa kepada penahanan suspek utama yang dipercayai bertindak sebagai koordinator sindiket.
Menurut Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, rampasan itu mampu menjejaskan lebih 2.1 juta individu. Bekalan syabu dipercayai diseludup dari negara jiran melalui sempadan utara Malaysia dan dijangka diedarkan ke Sabah, Sarawak, serta kemungkinan diseludup ke Kalimantan, Indonesia.
“Tiga daripada lima suspek mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah, termasuk seorang dengan 13 rekod lampau. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan,” katanya dalam sidang media di IPK Selangor.
Polis turut menyita dua kereta, jam tangan mewah, barang kemas dan wang tunai – menjadikan keseluruhan sitaan mencecah RM13.74 juta. Kesemua suspek direman tujuh hari bermula 19 Ogos.
PDRM turut mengesahkan sindiket ini mempunyai kaitan dengan rangkaian pengedaran antarabangsa. Usaha sedang dijalankan untuk mengesan saki baki ahli sindiket yang dipercayai berada pada hierarki lebih tinggi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sindiket dadah diminta menghubungi JSJN menerusi talian hotline 012-208 7222.



Comments