Polis Siasat Kes Kematian Pelajar Kolej Ditemui Tergantung di Rumah Keluarga
- E. Guan
- Aug 18, 2025
- 1 min read
Seorang pelajar wanita sebuah kolej ditemui mati tergantung pada kipas siling di ruang tamu tingkat dua rumah keluarganya di USJ 2/1, Subang Jaya, Khamis lalu, dipercayai menjadi mangsa bunuh.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat, berkata pihaknya menerima panggilan daripada bapa mangsa pada jam 11.55 pagi yang menemukan anaknya, berusia lingkungan 20-an, dalam keadaan demikian.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa telah meninggal dunia. Bedah siasat oleh pakar patologi Hospital Serdang mengesahkan punca kematian akibat pendarahan di sekitar tulang hyoid, manakala kecederaan pada otot dan tulang berpunca daripada tindakan cekik secara manual,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, mangsa tinggal bersama kakak dan sepupunya, namun berada seorang diri ketika kejadian. Tiada kehilangan harta benda dilaporkan di rumah berkenaan.
Setakat ini, katanya, belum ada tangkapan dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi mengenai kes itu.
“Mereka yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 atau Pegawai Penyiasat ASP Zainol Aazizi Abu Bakar di 013-3227632,” ujarnya.



Comments