top of page

PMX - "Netanyahu dan kelompoknya memang kurang siuman! Zalim!"

  • E. Guan
  • Aug 25
  • 1 min read

Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan rejim Zionis yang terus menyerang Gaza sebagai sesuatu yang tidak berperikemanusiaan serta melampaui kewarasan.


Beliau menegaskan bahawa keganasan yang menyasarkan kanak-kanak, wanita, hospital, sekolah serta pelbagai bentuk penindasan lain membuktikan rejim Israel sanggup menggunakan kebuluran dan sekatan bantuan kemanusiaan sebagai senjata peperangan.


“Sepanjang usia saya 78 tahun, belum pernah melihat kezaliman sebegini. Netanyahu dan kumpulannya jelas tidak waras, zalim! Mereka menuduh semua kanak-kanak kecil di Gaza sebagai Hamas. Bayi berusia dua tahun pun dilabel sebegitu — ini satu penyakit,” katanya.


Anwar menyampaikan perkara itu dalam Syarahan Perdana: Malaysiaku Bersama Gaza sempena Karnival Sumud Nusantara di Dataran Merdeka. Turut hadir beberapa menteri Kabinet serta pemimpin NGO termasuk Ketua Pengarah Sumud Nusantara merangkap CEO Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, dan CEO MAPIM, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.


Beliau turut mempersoalkan sikap negara-negara Barat yang seolah-olah menerima penjajahan di Gaza, membiarkan pembunuhan wanita dan kanak-kanak hanya kerana ia berlaku di Palestin. “Jawapan mereka hanya satu – Hamas, 7 Oktober. Itu sahaja yang mereka ulang,” ujar beliau.


Menurut Perdana Menteri, penindasan ke atas Palestin sudah berlangsung berdekad-dekad dengan rampasan tanah, pemusnahan rumah, sekolah, masjid bahkan gereja. Perjuangan Palestin, katanya, tidak boleh dipisahkan daripada sejarah imperialisme, kolonialisme, dan eksploitasi berterusan.


“Ini bukan manusia, ini haiwan. Segala-galanya dirampas — tanah, air, rumah, keluarga, anak-anak. Itulah hakikat penjajahan. Jadi mengapa masih ada yang bercakap tentang hak asasi manusia atau demokrasi? Hak apa? Demokrasi apa? Sistem dunia apa?” tegas beliau.

Comments


bottom of page