top of page

Pesara Hilang RM94,000 Terpedaya Skim Pelaburan Palsu

  • Adi Dit
  • Aug 19
  • 1 min read


KUALA TERENGGANU – Seorang pesara berusia 59 tahun kerugian RM94,463 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang disertainya pada 14 Ogos lalu.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa mula terjebak selepas menerima tawaran pelaburan melalui sebuah aplikasi dalam talian pada jam 3.10 petang ketika berada di rumah.


Mangsa mendaftar melalui laman sesawang dan membuat pelaburan awal RM200. Dalam aplikasi itu, beliau dapat melihat jumlah wangnya seolah-olah meningkat, sekali gus meyakinkannya untuk terus melabur.


“Kononnya, keuntungan boleh diperoleh, tetapi mangsa diarahkan membuat lebih banyak transaksi atas alasan untuk memproses bayaran keuntungan,” katanya.


Antara 14 hingga 17 Ogos, mangsa membuat 12 transaksi ke enam akaun bank berbeza sebelum akhirnya menyedari dirinya ditipu. Beliau kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Terengganu pada 8.17 malam semalam.


Menurut polis, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Wang yang hilang merupakan hasil pampasan pencen mangsa.

Comments


bottom of page