top of page

Pengarah Syarikat Didakwa Tipu Pelaburan RM155,000

  • Adi Dit
  • Aug 12
  • 1 min read

JOHOR BAHRU – Seorang pengarah syarikat berpangkalan di Singapura dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menipu tiga warga Singapura dan seorang rakyat tempatan membabitkan pelaburan berjumlah RM155,000, yang didakwa berlaku 10 tahun lalu.


Tertuduh, Chong Kok Ming, 54, yang berstatus penduduk tetap Singapura, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.


Mengikut kertas pertuduhan, Kok Ming bersama seorang lelaki warga Singapura yang masih bebas, didakwa memperdaya Lim Swee Chong, Lim Swee Joo, Ho Sang Bin dan Puah Kot Choon untuk memasukkan wang ke dalam akaun sebuah syarikat berdaftar di Malaysia.

Mangsa dipercayai tertipu dengan janji bahawa mereka akan didaftarkan sebagai pemegang saham syarikat dan menerima dividen tahunan, sedangkan tertuduh mengetahui perkara itu tidak benar.


Jumlah kerugian melibatkan RM71,250 setiap seorang bagi Swee Chong dan Swee Joo, serta RM6,250 masing-masing bagi Sang Bin dan Kot Choon. Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Cengal, Taman Makmur, Batu Pahat pada 15 Oktober 2014.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Chan Lee, mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan. Namun, peguam K. Veeranesh yang mewakili Kok Ming memohon jumlah itu dikurangkan, dengan alasan anak guamnya berpendapatan SGD10,000 sebulan dan menanggung seorang isteri serta dua anak berusia 21 dan 25 tahun.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin, dan menetapkan 17 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Comments


bottom of page