top of page

Pelaksanaan Dasar Mewajibkan Pengehad Kelajuan (‘Speed Limiter’) Langkah Tepat Bagi Keselamatan Jalan Raya

  • Writer: Camelia K
    Camelia K
  • Jun 10
  • 2 min read

Kuala Lumpur, 10 Jun – Negara hari ini berduka dengan pemergian 15 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam satu kemalangan tragis melibatkan sebuah bas semalam. Insiden memilukan ini sekali lagi mengingatkan rakyat Malaysia tentang pentingnya keselamatan jalan raya, khususnya melibatkan kenderaan berat.


Mengulas mengenai tragedi ini, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menzahirkan rasa sedih dan menyeru agar semua pihak memperkukuh langkah keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang sedia ada bagi mengelakkan kejadian seumpama ini daripada berulang.


"Tragedi ini mengingatkan kita akan keperluan untuk menggiatkan lagi penguatkuasaan undang-undang sedia ada, serta menambah baik dasar bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.


Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook semalam mengumumkan bahawa kerajaan sedang merangka dasar baharu yang mewajibkan pemasangan pengehad kelajuan (speed limiter) bagi semua kenderaan berat. Menurut beliau, dasar tersebut akan dirangka secara menyeluruh bagi mengelakkan sebarang manipulasi apabila ia dikuatkuasakan kelak.


Syahredzan menyambut baik pengumuman tersebut dan menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan dasar tersebut. “Ini adalah satu langkah tepat bagi meningkatkan keselamatan jalan raya. Malah, menurut rekod, isu ini telah dibincangkan sejak lebih 10 tahun lalu. Komitmen kerajaan MADANI untuk akhirnya melaksanakannya secara wajib menunjukkan kesungguhan melindungi nyawa rakyat,” ujarnya.


Beliau turut menggesa syarikat-syarikat yang memiliki kenderaan berat termasuk bas dan lori agar menyokong pelaksanaan dasar ini, serta bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan keberkesanannya.


“Pihak berkuasa juga perlu menggandakan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat dan memperbanyakkan kempen kesedaran kepada pengguna jalan raya,” tambahnya.


Mengakhiri kenyataannya, Syahredzan berkata bahawa kehilangan 15 nyawa muda semalam adalah satu tragedi yang tidak dapat diubah, namun dengan dasar yang tepat dan tindakan tegas, negara dapat mengelakkan tragedi sebegini daripada berulang.


“Nyawa mereka tidak dapat dikembalikan. Namun kita mampu memastikan tiada lagi kehilangan yang sia-sia dengan bertindak sekarang,” katanya.

Comments


bottom of page