top of page

Pelajar 14 Tahun Mengaku Salah Tumbuk Guru, Hukuman Dijatuhkan September Ini

  • Writer: Camelia K
    Camelia K
  • Jul 30, 2025
  • 1 min read

KAJANG – Pelajar lelaki berusia 14 tahun yang tular kerana menumbuk gurunya baru-baru ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kajang hari ini.


Remaja berkenaan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil. Prosiding dijalankan secara tertutup kerana tertuduh masih di bawah umur.


Mengikut pertuduhan, pelajar tersebut didakwa dengan sengaja mencederakan guru lelaki berusia 29 tahun di sebuah sekolah di Kajang pada 28 Julai lalu. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 jika sabit kesalahan.


Mahkamah menetapkan 11 September depan bagi mendengar laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebelum hukuman dijatuhkan.


Pendakwaan sebelum ini mencadangkan jaminan RM5,000, namun mahkamah hanya membenarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin memandangkan tertuduh masih bersekolah.


Kejadian ini menjadi perhatian ramai selepas rakaman video berdurasi 38 saat yang menunjukkan pelajar itu menumbuk gurunya tular di media sosial. Polis kemudian menahan remaja terbabit bagi membantu siasatan.


Menurut ibunya, anak tunggal itu sudah memohon maaf kepada guru berkenaan dan menyesali perbuatannya.

Comments


bottom of page