Pasangan Guru Cedera Parah Dalam Kes Kelar di Bayan Lepas
- Camelia K
- Aug 27, 2025
- 2 min read
BAYAN LEPAS, 27 Ogos 2025 — Sepasang suami isteri yang bekerja sebagai guru dilaporkan cedera parah selepas terlibat dalam satu insiden kelar yang berlaku di rumah mereka di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, awal pagi tadi.
Kejadian yang berlaku sebelum Subuh itu menyaksikan si isteri, berusia 28 tahun, dikelar di leher oleh suaminya, sebelum lelaki berusia 30 tahun itu bertindak mengelar diri sendiri di bahagian leher dan tangan. Kedua-dua mangsa kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP), dengan wanita berkenaan dilaporkan dalam keadaan stabil manakala suaminya masih kritikal.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6 pagi berhubung kejadian tersebut.
“Hasil siasatan awal mendapati pasangan berkenaan telah enam tahun berkahwin dan bekerja di sekolah yang sama di daerah Timur Laut. Mereka juga mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Disangka Majlis Kenduri, Rupanya Tragedi
Seorang jiran yang enggan dikenali memaklumkan bahawa dia pada mulanya menyangka keluarga tersebut sedang mengadakan kenduri berdasarkan kehadiran ramai orang di hadapan rumah mereka.
“Saya nampak ramai orang berkumpul depan rumah dan sangka mereka buat jamuan macam biasa. Tapi bila nampak banyak kereta polis, baru tahu ada kejadian buruk berlaku,” katanya.
Menurutnya lagi, pasangan berkenaan dikenali sebagai individu berpendidikan dan disenangi penduduk sekitar. Mereka pernah menyambung pengajian di sebuah universiti di Beijing, China, dan sering dilihat membawa anak mereka berjalan kaki di kawasan kejiranan pada waktu petang.
“Sejak kebelakangan ini, kami dah lama tak nampak mereka keluar bersama. Tapi keluarga tu memang baik, selalu jemput jiran bila buat makan-makan,” ujarnya.
Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.



Comments