top of page

Op Sohor: Empat Pegawai Kanan ATM Bakal Didakwa di Mahkamah

  • Adi Dit
  • Sep 9
  • 2 min read

PUTRAJAYA — Empat pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan berdepan pertuduhan di mahkamah selepas dipercayai terbabit dalam sindiket penyeludupan barangan larangan termasuk dadah dan rokok yang dibongkar menerusi Op Sohor.


Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, mengesahkan bahawa pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) telah memberikan lampu hijau untuk prosiding pendakwaan.


“Dalam kes Op Sohor, seramai 11 individu ditahan iaitu lima pegawai kanan tentera dan enam orang awam. Hasil siasatan yang telah siap serta dirujuk kepada TPR, empat pegawai kanan telah dipersetujui untuk dituduh di mahkamah.


“Seorang lagi pegawai tentera akan dirujuk kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk tindakan tatatertib atau prosiding mahkamah tentera (court martial),” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.


Sindiket melibatkan pegawai risikan tentera


Sebelum ini, media melaporkan bahawa SPRM menahan lima pegawai risikan daripada Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO). Tangkapan itu sekali gus melumpuhkan sindiket penyeludupan yang disyaki dikawal oleh pegawai kanan ATM, beroperasi di kawasan selatan tanah air.


Selain pegawai ATM, turut ditahan ialah dua wartawan dan seorang wanita warga asing, menjadikan jumlah keseluruhan 10 individu direman SPRM hasil operasi tersebut.


Tindakan terhadap orang awam masih diteliti


Azam menjelaskan bahawa buat masa ini masih tiada keputusan untuk menuduh enam orang awam yang disiasat. Kesemua fail berkaitan masih dalam penelitian pihak berkuasa.


Kerjasama dengan ATM dan MINDEF


Mengulas isu kebocoran maklumat yang dikaitkan dengan operasi ini, Azam menegaskan SPRM sedang mengadakan perbincangan dengan ATM dan MINDEF.


“Sebarang isu kebocoran maklumat adalah perkara keselamatan yang tidak boleh saya dedahkan. Namun, kami sudah menjalankan perbincangan bersama ATM dan Menteri Pertahanan. Kerjasama yang diberikan setakat ini amat baik.


“Perkara ini penting untuk memastikan pada masa akan datang tidak berlaku lagi masalah yang sama, khususnya isu kebocoran maklumat operasi ketenteraan,” jelasnya.

Pendedahan ini menambah satu lagi episod besar dalam siasatan SPRM, sekali gus menunjukkan komitmen pihak berkuasa untuk memastikan integriti serta keselamatan pertahanan negara terus dipertahankan.

Comments


bottom of page