Nahas Helikopter di Bentong: Laporan Awal Dedah Prosedur Keselamatan Tidak Dipatuhi
- Adi Dit
- Aug 12, 2025
- 1 min read
KUALA LUMPUR – Laporan awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) mengenai nahas helikopter Bell 206L4 di Bentong, Pahang, pada 6 Februari lalu yang mengorbankan seorang jurutera kru darat mendedahkan, prosedur keselamatan tidak dipatuhi ketika proses pengisian minyak secara hot refuelling.
Hot refuelling ialah kaedah mengisi minyak ketika enjin helikopter masih hidup dan bilah kipas sedang berpusing, biasanya dilakukan atas faktor operasi atau kekangan masa.
Menurut laporan yang dikeluarkan BSKU di laman webnya, tindakan tidak selamat oleh juruterbang dan kru darat ketika proses itu mewujudkan risiko tinggi.
Helikopter didapati berlegar dengan bilah kipas masih berpusing sambil menghampiri jurutera di darat yang berada tepat di bawahnya – satu pelanggaran prosedur kerja selamat yang menetapkan kru perlu berada pada jarak selamat sehingga menerima isyarat jelas daripada juruterbang.
Laporan turut menyatakan ketiadaan pegawai keselamatan di lokasi pendaratan bagi menyelia operasi telah menyumbang kepada sikap sambil lewa kru, sekali gus meningkatkan risiko kejadian.
Helikopter bernombor pendaftaran PK-ZUV, dikendalikan syarikat Indonesia PT Zaveryna Utama, digunakan untuk projek pembinaan menara transmisi Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak 21 Januari.
Pada hari kejadian, pesawat kembali ke tapak pendaratan untuk mengisi minyak namun hilang kawalan ketika berlegar, lalu bergesel dengan tanah, terbalik, dan terbakar. Bilah kipas terkena jurutera di darat yang disahkan maut di lokasi, manakala juruterbang hanya cedera ringan.
BSKU menjelaskan bahawa pihak pemajak atau penyewa pesawat bertanggungjawab memastikan operasi mematuhi semua prosedur keselamatan. Laporan ini merupakan penemuan awal dan punca sebenar nahas hanya akan dinyatakan dalam laporan akhir kelak.



Comments