Malaysia Cadang Panjangkan ECRL ke Sempadan Thailand – PM Anwar
- Camelia K
- Sep 3
- 2 min read
BEIJING, 3 Sept – Malaysia mencadangkan supaya Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dipanjangkan dari Kota Bharu ke Rantau Panjang sehingga ke sempadan Thailand, sebagai langkah memperkukuh hubungan serantau menerusi Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang diterajui China.
Cadangan itu dibangkitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pertemuan bersama Presiden China Xi Jinping dan rakan sejawatnya, Li Qiang, semasa lawatan kerja ke Beijing.
“Sekarang ini ECRL tamat di Kota Bharu. Jadi kita cadang ia diteruskan ke sempadan Thailand — sekitar 25 kilometer dari Kota Bharu ke Rantau Panjang. Kawasan itu agak ke belakang dari segi pembangunan, jadi kita harap kewujudan stesen ECRL nanti dapat melonjakkan aktiviti ekonomi tempatan,” katanya dalam sidang media bersama wartawan Malaysia di Beijing hari ini.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, serta Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Anwar memaklumkan, cadangan sambungan ECRL ini masih di peringkat awal dan akan diperincikan kemudian melalui rundingan antara kementerian dan pegawai teknikal, termasuk aspek kos dan pelaksanaan.
Projek ECRL sepanjang 665 kilometer kini dibangunkan oleh syarikat milik kerajaan China, China Communications Construction Company (CCCC), melalui subsidiarinya China Harbour Engineering Company Ltd. Ia menghubungkan Pantai Timur dari Kota Bharu ke Port Klang di Pantai Barat, menjadikan Malaysia sebagai koridor darat penting dalam jaringan BRI.
Selain berperanan sebagai projek strategik Malaysia-China, ECRL dijangka menyumbang 2.7% kepada pertumbuhan ekonomi negara apabila siap sepenuhnya.
Sementara itu, Tengku Zafrul memaklumkan lawatan rasmi ini turut berjaya menjana potensi pelaburan bernilai RM905 juta melibatkan sektor kimia dan telekomunikasi. Tambahan pula, Malaysia turut meraih potensi eksport bernilai RM180 juta melalui platform jd.com, serta RM2.2 bilion dalam sektor semikonduktor hasil perbincangan bersama China Semiconductor Industry Association (CSIA).
“Kita lihat trend perdagangan dua hala Malaysia-China, terutamanya dalam sektor teknologi tinggi dan semikonduktor, semakin memberangsangkan dan membuka lebih banyak peluang eksport,” kata beliau.







Comments