Malaysia, ASEAN Perkukuh Kerjasama Teknologi Nuklear Selamat & Terkawal
- Ramesh S
- Aug 15, 2025
- 1 min read

JOHOR BAHRU, 14 Ogos (Bernama) – Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan negara-negara anggota ASEAN bagi memastikan penggunaan teknologi nuklear di rantau ini dilaksanakan secara selamat, terjamin, dan terkawal.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata pelbagai inisiatif termasuk program pembangunan kapasiti, pertukaran teknikal, dan kerjasama strategik telah memperkukuh kesiapsiagaan serta ketahanan rantau ini terhadap cabaran baharu.
“Pencapaian ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan dan kerjasama berterusan daripada semua anggota ASEAN,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Mesyuarat Tahunan ke-12 Rangkaian Badan Kawal Selia Atom ASEAN (ASEANTOM) di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Atom Malaysia Noraishah Pungut dan Pengarah Institut Penyelidikan Nuklear Filipina, Dr Carlo Abundo Arcilla.
Sebagai Pengerusi ASEANTOM tahun ini, Malaysia komited kepada matlamat bersama rangkaian tersebut selaras dengan tema Pengerusi ASEAN 2025, Inklusiviti dan Kelestarian, yang menekankan agar tiada pihak tertinggal dan setiap rakyat ASEAN menerima manfaat daripada kemajuan serta kelestarian rantau.
“Melalui kerjasama berterusan, kita dapat membina masa depan yang lebih selamat, inovatif dan mampan,” katanya sambil menegaskan bahawa semangat perpaduan, saling percaya, dan kerjasama dalam ASEAN dan ASEANTOM mesti terus dipelihara demi keamanan dan kemakmuran rantau ini.
Pada majlis itu, Malaysia secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi ASEANTOM kepada Filipina.
Sementara itu, Dr Arcilla berkata Filipina komited untuk bekerjasama erat dengan semua negara anggota, rakan dialog, dan Sekretariat ASEAN bagi menghadapi cabaran nuklear dan radioaktif yang semakin berkembang.
“Kami memikul tanggungjawab ini dengan semangat kerjasama dan perkongsian amanah,” katanya.



Comments