MAHAR Desak Siasatan Bebas Serangan Dron ke atas Bot Misi Kemanusiaan GSF
- Camelia K
- Sep 10
- 1 min read
KUALA LUMPUR, 10 Sept – Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) menggesa siasatan segera dan menyeluruh dijalankan susulan serangan dron ke atas salah sebuah bot dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) di perairan Tunisia.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, MAHAR menuntut agar insiden tersebut disiasat secara bebas bagi mengenal pasti sama ada serangan itu dilakukan secara sengaja, melanggar undang-undang antarabangsa atau merupakan bentuk pencerobohan terhadap misi kemanusiaan.
Negara-negara yang memiliki kuasa dan keupayaan perlu bertindak memastikan laluan yang selamat, baik di laut mahupun di udara, bagi semua kapal dan petugas yang terlibat dalam misi ini.
Flotila GSF yang membawa lebih 1,000 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia, belayar dari Barcelona dan Genoa dengan misi memecahkan sekatan ke atas Gaza. Mereka membawa bantuan kemanusiaan termasuk makanan dan ubat-ubatan, dan dijadual berlepas dari Tunisia ke Gaza pada Rabu.
Menurut MAHAR, meskipun salah satu bot flotila diserang, semua enam penumpang dan kru dilaporkan selamat. Organisasi itu memuji keberanian mereka yang meneruskan misi walaupun berdepan ancaman fizikal.
Misi ini tidak sepatutnya dianggap sebagai provokasi atau jenayah. Ia adalah tuntutan keadilan untuk Gaza dan usaha menamatkan penderitaan kemanusiaan yang sudah berlarutan terlalu lama.
MAHAR juga menyeru kerajaan Malaysia dan komuniti antarabangsa agar meningkatkan tekanan diplomatik, mempertahankan undang-undang maritim serta memastikan tiada lagi sewenang-wenangnya nyawa petugas kemanusiaan dipertaruhkan.
Flotila ini bukan hanya simbolik. Ia satu cabaran terhadap budaya kebal daripada tindakan undang-undang. Ia juga seruan agar maruah manusia kembali dihormati di perairan antarabangsa.
GSF turut membawa penyertaan aktivis Malaysia bersama tokoh-tokoh kemanusiaan antarabangsa dalam misi yang menyatukan suara global menentang sekatan ke atas Gaza.







Comments