Letusan Gunung Lewotobi: Lapangan Terbang Maumere Ditutup Sementara
- Adi Dit
- Aug 19, 2025
- 1 min read
JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menutup sementara Lapangan Terbang Fransiskus Xaverius Seda (Frans Seda) di Maumere, Nusa Tenggara Timur selepas abu daripada letusan Gunung Lewotobi dilaporkan menjejaskan keselamatan penerbangan.
Menurut Direktorat Jeneral Penerbangan Awam, penutupan itu bermula pada 5.57 pagi waktu tempatan, 18 Ogos, dan dijangka berlanjutan sehingga 5 pagi, 19 Ogos, di bawah arahan Notice to Airmen (NOTAM) C1171/25.
“Keselamatan navigasi udara menjadi keutamaan kami. Penutupan ini dibuat dengan kerjasama pihak lapangan terbang, AirNav Indonesia dan agensi berkaitan,” kata Ketua Pengarah Pengangkutan Udara, Lukman F Laisa.
Pusat Penasihat Abu Vulkanik (VAAC) Darwin di Australia bersama Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia serta BMKG melaporkan awan abu mencapai ketinggian sehingga 18,000 kaki (5,486 meter) dan bergerak ke arah barat pada kelajuan 10 knot.
Indonesia, yang terletak di Lingkaran Api Pasifik dengan lebih 120 gunung berapi aktif, kerap berdepan letusan yang mengganggu laluan udara. Abu gunung berapi dianggap amat berbahaya kerana boleh merosakkan enjin pesawat dan menjejaskan jarak penglihatan.



Comments