top of page

Lelaki maut ditikam di hadapan rumah di Senawang

  • Adi Dit
  • Aug 12, 2025
  • 1 min read

SEREMBAN – Seorang lelaki berusia 28 tahun maut selepas dipercayai ditikam di bahagian dada menggunakan sebilah pisau dalam satu kejadian di hadapan sebuah rumah di Jalan Sri Pagi 15, Taman Sri Pagi, Senawang, petang semalam.


Kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun, yang kemudiannya bertindak agresif.


Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam memaklumkan kejadian berkenaan sebelum anggota polis bergegas ke lokasi.


“Siasatan awal mendapati suspek telah menikam dada mangsa dengan pisau sehingga menyebabkan kecederaan parah. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada jam 7.28 malam oleh pegawai perubatan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, orang awam yang berada di lokasi berjaya menahan suspek sebelum menyerahkannya kepada pihak polis. Sebilah pisau dipercayai senjata digunakan dalam kejadian turut dirampas.


“Suspek kini direman sehingga 18 Ogos untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Motif sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban bagi membantu siasatan.

Comments


bottom of page