top of page

Kualiti Udara di Lokasi Insiden Jambatan Link 2 Disahkan Selamat – JBPM Johor

  • TW
  • Jul 25, 2025
  • 2 min read

JOHOR BAHRU, 25 Julai 2025 – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengesahkan bahawa kualiti udara di kawasan kejadian kemalangan membabitkan dua treler di Jambatan Link 2 berada dalam keadaan selamat dan tidak menimbulkan ancaman kepada orang awam.


Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, PBK II Nurmala Sideli, pemeriksaan terperinci dilakukan oleh unit pasukan bahan berbahaya (Hazmat) dari BBP Larkin menggunakan peralatan seperti Gasmet FTiR dan GFG Multi Gas Detector. Hasil pemeriksaan mendapati tiada pengesanan bahan kimia berbahaya di udara sekitar lokasi kejadian.


Pemerhatian visual di permukaan laut juga tidak menunjukkan sebarang buih, perubahan warna air, atau kesan tumpahan bahan kimia yang boleh menandakan kebocoran. Kedua-dua treler terbabit dilaporkan membawa bahan kimia – salah satunya membawa muatan propilena glikol manakala satu lagi mengangkut tangki kosong natrium hipoklorit.


Insiden itu berlaku pada jam 5.41 petang semalam di Kilometer 0.8 Lebuhraya PLUS apabila treler berwarna merah dipercayai melanggar treler putih sebelum terjatuh ke laut. Pemandu treler merah mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan telah mendapatkan rawatan awal di Klinik Kesihatan Gelang Patah sebelum dirujuk ke hospital. Pemandu treler kedua tidak mengalami kecederaan.


Seorang penunggang motosikal yang turut terlibat dilaporkan terjatuh ketika cuba mengelak, namun tidak mengalami kecederaan serius dan telah meninggalkan lokasi selepas menerima rawatan awal.


Operasi menyelamat melibatkan 13 anggota dan dua jentera dari BBP Iskandar Puteri serta BBP Larkin, yang dimulakan pada jam 5.57 petang dan tamat sepenuhnya sekitar jam 11 malam. Selepas keadaan disahkan selamat, kawasan berkenaan diserahkan kembali kepada pihak pengurusan lebuh raya dan polis untuk tindakan lanjut.


Pihak JBPM menegaskan bahawa tindakan pantas semua agensi terbabit berjaya memastikan keselamatan persekitaran terkawal dan sebarang risiko kepada orang awam dapat dielakkan. Orang ramai diminta tidak panik dan terus memberi kerjasama sekiranya terdapat kejadian serupa di masa akan datang.

Comments


bottom of page