top of page

KPKM & MOF Teliti Isu BUDI95 untuk Pesawah

  • E. Guan
  • Sep 29, 2025
  • 1 min read

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah mengadakan rundingan dengan Kementerian Kewangan (MOF) berhubung isu subsidi petrol di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang melibatkan pesawah dan petani.


Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata aduan mengenai dakwaan pesawah tidak menerima subsidi atau jumlah subsidi yang tidak mencukupi telah diteliti secara menyeluruh bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.


“Memang KPKM ada menerima aduan berkaitan BUDI95 yang melibatkan pesawah. Semua aspek sudah diperhalusi dan Ketua Setiausaha Kementerian sedang menyelaras perkara ini. Malah, perbincangan dengan MOF juga telah dibuat untuk mencari penyelesaian. Hasil perbincangan sudah ada keputusan, dan saya akan maklumkan secara terperinci selepas ini, Insya-Allah,” katanya selepas merasmikan Program Pemerkasaan Sektor Pertanian di Kampung Guar Petai, semalam.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media mengenai pelaksanaan BUDI95, termasuk kebimbangan sama ada subsidi itu benar-benar menepati keperluan pesawah di sawah bendang.


Sebelum ini, Adun Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, yang juga Koordinator Gerakan Melawan Penindasan Petani (Gempita), mencadangkan kerajaan mempertimbangkan mekanisme khas seperti kad petrol untuk pesawah. Cadangan itu bertujuan memastikan golongan pesawah dapat menikmati subsidi bahan api mengikut keperluan sebenar, memandangkan kerja sawah dan pertanian amat bergantung kepada penggunaan petrol serta diesel.


Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa melalui BUDI95, rakyat Malaysia boleh membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding RM2.05 sebelum ini, bermula 30 September. Bagi bukan warganegara, harga RON95 ditetapkan pada RM2.60 seliter.

Comments


bottom of page