KKM: Patuhi Pekeliling, Benarkan Petugas Hamil 22 Minggu Pulang Awal
- Adi Dit
- Aug 26
- 1 min read
PUTRAJAYA, 25 Ogos 2025 – Semua ketua jabatan dan penyelia di fasiliti kesihatan diingatkan agar mematuhi arahan rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang memberi kebenaran kepada petugas wanita hamil berusia kandungan 22 minggu ke atas untuk pulang sejam lebih awal.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menegaskan tiada alasan untuk menafikan hak tersebut, walaupun fasiliti kesihatan berdepan kekangan beban tugas.
“Saya faham cabaran di lapangan, tetapi ia tidak boleh dijadikan sebab untuk melanggar peraturan. Sama ada jururawat tetap, kontrak atau lantikan MySTEP, semua pihak mesti diberikan kemudahan ini,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani MoU inisiatif Cancer Care Closer to Community antara KKM dan Roche Malaysia, hari ini.
Beliau merujuk laporan media sebelum ini yang mendakwa terdapat fasiliti di Selangor hanya membenarkan pekerja hamil pulang awal apabila kandungan mencecah 36 minggu, sekali gus bercanggah dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2017.
Pekeliling itu menetapkan usia kandungan lima bulan atau 22 minggu sebagai had minimum untuk pegawai awam wanita mendapat kemudahan pulang sejam awal.
“Ketua jabatan dan penyelia yang mempunyai kuasa mesti memastikan arahan ini dipatuhi, bukan sebaliknya,” tegas Dr Dzulkefly.







Comments