Ketua Geng Samun Mati Ditembak Dalam Ops Polis di Bukit Tunku
- Camelia K
- Aug 6, 2025
- 1 min read
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki disyaki ketua geng samun rumah dan premis perniagaan maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Jalan Bukit Tunku, Rabu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus, berkata suspek berusia 36 tahun itu mempunyai 44 rekod lampau membabitkan samun, jenayah kekerasan, dadah dan pecah rumah.
“Suspek bertindak agresif ketika polis cuba memintas kereta BMW yang dipandunya. Dia melepaskan tembakan ke arah anggota, memaksa polis melepaskan tembakan balas bagi mempertahankan diri,” katanya pada sidang media di lokasi.
Pemeriksaan mendapati kenderaan BMW tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu dan tiada rekod dalam sistem JPJ, dipercayai diseludup masuk dari luar negara.
Polis turut merampas vest polis, sepucuk pistol revolver yang digunakan suspek, peralatan pecah rumah serta dadah.
Menurut Fadil, kumpulan penjenayah ini aktif sejak tahun lalu di Kuala Lumpur, Selangor dan Perak dengan kerugian dilaporkan melebihi RM1 juta.
“Mereka menyasarkan rumah yang mempunyai peti keselamatan, melarikan jongkong emas dan wang tunai, malah ada menyamar sebagai polis. Kita percaya kumpulan ini turut terbabit dalam pengedaran dadah,” katanya.
Polis kini memburu saki-baki geng berkenaan yang masih bebas.



Comments