Kes Zara Qairina: Peguam Nafi Tertuduh Anak VVIP, Jelaskan Pembelaan Diberi Secara Percuma
- Camelia K
- Aug 20
- 1 min read
KOTA KINABALU – Peguam kanan, Datuk Ram Singh tampil menafikan dakwaan bahawa salah seorang remaja yang dituduh dalam kes kematian tragis Zara Qairina Mahathir merupakan anak orang kenamaan (VVIP), sambil menjelaskan bahawa pembelaan diberikan secara pro bono atau percuma.
Beliau berkata, pasukan peguam yang mewakili remaja berkenaan tidak menerima sebarang bayaran daripada keluarga tertuduh dan tindakan itu dibuat atas dasar kemanusiaan kerana kes melibatkan kanak-kanak.
“Saya sedih… dan sebagai seorang bapa, saya memahami apa yang berlaku ke atas remaja ini. Justeru saya dan rakan-rakan peguam lain putuskan untuk bantu secara percuma. Remaja ini bukan anak VVIP seperti yang digembar-gemburkan,” katanya kepada media sebelum prosiding pendakwaan di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Rabu.
Turut serta dalam pasukan pembelaan ialah peguam Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan.
Dalam prosiding tersebut, mahkamah mengeluarkan larangan penyiaran identiti terhadap lima remaja yang dituduh, selaras dengan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 yang melarang penyiaran maklumat peribadi berkaitan kanak-kanak dalam kes jenayah, sama ada nama, wajah, ibu bapa atau tempat tinggal.
Menjawab persoalan orang ramai, peguam Hamid Ismail yang mewakili ibu mendiang Zara Qairina, menjelaskan bahawa larangan tersebut adalah berdasarkan peruntukan undang-undang dan bukannya arahan luar atau campur tangan pihak berkuasa tertentu.
“Undang-undang ini bukan digubal untuk melindungi sesiapa berdasarkan status. Larangan ini memang wujud bagi menjaga hak kanak-kanak. Gag order ini hanya untuk prosiding jenayah di Mahkamah Kanak-Kanak, bukannya prosiding inkues. Inkues masih boleh dilaporkan oleh media,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat agar memahami proses perundangan dengan lebih baik sebelum membuat kesimpulan atau tuduhan tidak berasas.
“Jangan cepat menyangka bahawa kes ini dilindungi kerana ‘orang atas’. Ini bukan soal VVIP. Ini adalah sistem undang-undang negara kita,” tegas Hamid.







Comments