top of page

Kes Zara Qairina: AGC Teliti Laporan Siasatan, Lebih 60 Saksi Dirakam Keterangan

  • Adi Dit
  • Aug 5
  • 2 min read

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) kini sedang menjalankan penelitian menyeluruh terhadap laporan penuh siasatan awal yang diterima daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kematian tragis pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, 13, di Sabah.


Laporan siasatan berkenaan diterima AGC pada 3 Ogos dari Cawangan Sabah dan pada 4 Ogos di Ibu Pejabat Putrajaya. Penelitian yang sedang dijalankan melibatkan semua aspek undang-undang dan fakta kes, bagi memastikan sebarang tindakan yang bakal diambil kelak adalah tepat, adil dan selaras dengan undang-undang negara.


Zara Qairina merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar. Beliau dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah kira-kira jam 4 pagi pada 16 Julai lalu dan ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran. Mangsa dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.


Susulan kejadian, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan bahawa pihak polis telah melengkapkan kertas siasatan dan menyerahkannya kepada AGC untuk tindakan lanjut. Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, memaklumkan bahawa pihaknya tidak menolak kemungkinan wujud unsur buli dalam kes tersebut.


Pada 17 Julai, ibu mangsa telah membuat laporan polis susulan selepas mendapati kesan lebam pada tubuh anaknya semasa memandikan jenazah. Laporan baharu itu dibuat di Balai Polis Sipitang selepas teringat semula akan keadaan fizikal Zara semasa proses pengurusan jenazah di hospital.


Sehingga kini, lebih 60 saksi telah dirakam keterangan termasuk pelajar, guru, kakitangan sekolah serta individu yang mempunyai kaitan langsung atau tidak langsung dengan kes ini.

Dalam kenyataan rasmi, AGC turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang kenyataan berbentuk spekulatif atau menyebarkan maklumat tidak sahih, demi menjaga integriti siasatan dan proses keadilan yang sedang berjalan.

Comments


bottom of page