Kes Rampasan Ganja 35kg & Pistol: Reman Isteri Doktor, Dua Anak Lelaki Disambung 6 Hari
- Adi Dit
- Aug 12, 2025
- 1 min read
KOTA BHARU – Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini membenarkan sambungan reman selama enam hari terhadap seorang suri rumah berusia 46 tahun, anak lelakinya berusia 23 tahun, dan anak tiri berusia 34 tahun yang ditahan berhubung kes rampasan dadah dan senjata api di Ketereh, minggu lalu.
Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri mengeluarkan perintah reman sehingga 18 Ogos selepas tempoh reman asal ketiga-tiga suspek berakhir esok.
Ketiga-tiga mereka ditahan pada 6 Ogos lalu dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan di sebuah banglo di Ketereh, kira-kira jam 4.30 pagi. Serbuan itu membawa kepada penemuan 35 kilogram ganja mampat, sepucuk pistol jenis Glock, 16 butir peluru, dan empat kenderaan mewah termasuk BMW dan Mercedes-Benz. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM420,000.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat sebelum ini memaklumkan, pihaknya turut merakam keterangan seorang doktor berusia lingkungan 60-an, yang juga suami dan bapa kepada suspek. Doktor itu mendakwa tidak berada di rumah ketika kejadian dan tidak mengetahui aktiviti yang berlaku di kediamannya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, serta Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.



Comments