top of page

JPJ Tegas Laksana Ops VEP, Hampir RM450,000 Nilai Saman Direkodkan

  • E. Guan
  • Aug 4
  • 1 min read

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 1,489 saman berjumlah RM445,800 sepanjang pelaksanaan Ops Penguatkuasaan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) di sempadan darat Malaysia-Singapura dari 1 Julai hingga Sabtu lalu.


Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia, Muhammad Kifli Ma Hassan, sebanyak 14,379 kenderaan berdaftar Singapura telah diperiksa di kawasan luar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) serta sekitar bandar raya Johor Bahru sepanjang tempoh tersebut.


“Daripada jumlah itu, 1,489 saman dikeluarkan terhadap pemilik atau pemandu kenderaan yang dikesan gagal memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP. Antara alasan mereka adalah kerana menyangka penguatkuasaan masih belum bermula dan pihak kerajaan masih dalam fasa advokasi,” katanya dalam sidang media selepas Operasi Khas VEP di susur keluar BSI, Bukit Chagar malam tadi.


Beliau turut memaklumkan bahawa hanya seorang individu enggan memberi kerjasama pada mulanya, namun selepas diberitahu bahawa kenderaannya akan disita, individu tersebut akhirnya akur, membayar saman dan mendaftar VEP.


Tambahnya lagi, hasil pemeriksaan mendapati hampir 90 peratus kenderaan persendirian Singapura telah memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP. Sehingga 31 Julai, sebanyak 277,930 tag RFID telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan Singapura, melibatkan pemilik individu dan syarikat.


Beliau menegaskan bahawa JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan jalan raya sedia ada.


Penguatkuasaan permit VEP ini memperuntukkan denda RM300 terhadap pemandu kenderaan berdaftar Singapura yang memasuki negara tanpa permit tersebut, mengikut peruntukan Seksyen 66H(7), Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Comments


bottom of page