top of page

Johor Teraju Pelaburan Pusat Data Negara, 42 Projek Bernilai RM164.45 Bilion Diluluskan

  • Writer: Camelia K
    Camelia K
  • Aug 14
  • 1 min read

JOHOR BAHRU – Johor kini muncul sebagai negeri peneraju pelaburan pusat data di Malaysia selepas 42 projek bernilai RM164.45 bilion telah diluluskan setakat suku kedua tahun 2025.


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pelaburan besar itu dijangka mewujudkan lebih 6,000 peluang pekerjaan berkualiti, sekali gus menyumbang kepada 78.6 peratus kapasiti teknologi maklumat (IT) operasi negara.


Tambah beliau, kerajaan negeri menyasarkan enam peratus kapasiti pusat data Malaysia akan tertumpu di Johor menjelang tahun 2030, seiring dengan hasrat menjadikan Johor sebagai peneraju kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital negara.


“Melalui integrasi teknologi pintar dalam perkhidmatan awam, peningkatan daya saing industri serta pembangunan ekosistem digital yang inklusif dan mampan, Johor akan memastikan manfaat teknologi dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.


Onn Hafiz turut menegaskan bahawa gabungan infrastruktur pusat data berskala besar, kemajuan dalam teknologi AI dan dasar kerajaan yang progresif akan memperkukuh potensi Johor sebagai hab inovasi digital serantau.


“Inisiatif ini bukan sahaja bakal merangsang pertumbuhan ekonomi negeri, malah berupaya meningkatkan kualiti hidup rakyat Johor melalui peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pembangunan industri baharu serta penyelesaian pintar untuk cabaran harian,” katanya.


Dalam hantaran yang sama, Onn Hafiz turut berkongsi pertemuan beliau bersama Menteri Digital, Gobind Singh Deo, di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur hari ini.


Pertemuan itu, katanya, menjadi landasan penting bagi membincangkan hala tuju pembangunan digital Johor serta memperkukuh peranan negeri dalam Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) bagi memastikan pembangunan pusat data yang menyeluruh, mampan dan memberi impak langsung kepada rakyat.

Comments


bottom of page