Jambatan Datuk Amar Juma'ani Lonjakkan Potensi Ekonomi & Pelancongan Kuching
- Camelia K
- Aug 6
- 1 min read
KUCHING – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin Jambatan Datuk Amar Juma'ani yang merentasi Sungai Bintangor akan memberi nilai tambah kepada pembangunan ekonomi dan pelancongan di Kuching.
Beliau berkata, kehadiran jambatan ini bukan sekadar infrastruktur baharu, sebaliknya mampu merancakkan lagi pembangunan masa depan, termasuk projek apartmen moden sambil mengekalkan identiti kampung asal di kawasan tersebut.
“Jambatan ini boleh menjadi tarikan pelancongan. Kawasan sekitar sungai boleh diperkayakan lagi, mungkin dengan perahu seperti gondola di Venice, tetapi dengan versi kita sendiri,” katanya ketika merasmikan jambatan itu malam tadi.
Jambatan yang secara rasmi dinamakan sempena Allahyarham Puan Sri Juma'ani Tuanku Bujang – isteri Abang Johari yang meninggal dunia pada 23 Jun lalu – turut diharap menjadi simbol penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam kebajikan negeri Sarawak.
Cadangan penamaan jambatan dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Satok, Datuk Ibrahim Baki, dan disokong Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Selain menjadi mercu tanda baharu, jambatan ini dijangka membuka peluang ekonomi kepada penduduk kampung melalui aktiviti pelancongan seperti penjualan cenderamata dan hasil kraf tangan.
Jambatan sepanjang 108.5 meter dengan empat lorong dua hala itu mula dibina pada Disember 2019 dengan kos RM50.6 juta dan kini menjadi sebahagian tarikan baharu bandar raya Kuching.







Comments