Inkues Zara Qairina: Doktor utamakan rawatan, polis tidak dihubungi
- Adi Dit
- Sep 9
- 1 min read
KOTA KINABALU — Prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu hari ini mendengar keterangan daripada Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Janefer Voo.
Beliau menjelaskan bahawa pihak hospital tidak menghubungi polis ketika menerima Zara pada 16 Julai lalu kerana keadaan pesakit yang tiba dalam keadaan kritikal tanpa maklumat lengkap daripada ambulans. “Keutamaan kami adalah menstabilkan pesakit terlebih dahulu,” katanya ketika menjawab soalan peguam keluarga, Rizwandean M Borhan.
Dr Janefer turut menyatakan beliau tidak melihat kehadiran polis mahupun ibu arwah di jabatan berkenaan pada tarikh tersebut.
Ubat anti sawan & hasil bedah siasat
Beliau menafikan memberi ubat anti sawan Phenytoin kepada Zara, meskipun ujian tisu buah pinggang sebelum ini mengesan ubat tersebut, seperti keterangan saksi pertama, Dr Jessie Hiu.
Soal kecederaan akibat jatuh
Dalam keterangannya, Dr Janefer mengakui pernah menerima pesakit dengan kecederaan akibat jatuh, termasuk dari tempat tinggi. Menurutnya, lebam atau kesan kecederaan bergantung kepada bahagian tubuh yang mendarat dahulu.
Namun, beliau tidak dapat mengesahkan secara khusus sama ada pernah menemui pesakit dengan lebam di seluruh badan atau di bahagian leher.
Prosiding inkues berhubung kematian Zara Qairina masih diteruskan dengan beberapa lagi saksi dijangka tampil memberi keterangan.







Comments