Inkues Zara Qairina Bermula, Pakar Patologi Jadi Saksi Pertama
- Camelia K
- Sep 3
- 1 min read
KOTA KINABALU, 3 Sept – Prosiding inkues bagi menyiasat kematian tragis remaja berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir, bermula hari ini di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, dengan pakar patologi Hospital Queen Elizabeth, Dr Jessie Hiu dijadualkan sebagai saksi pertama.
Dr Hiu merupakan salah seorang daripada empat pakar forensik yang menjalankan bedah siasat ke atas jenazah Zara pada 10 Ogos lalu, susulan arahan penggalian semula kubur oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Koroner merangkap Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, turut memaklumkan bahawa satu lawatan ke lokasi kejadian di Papar akan diadakan pada 11 September jam 9.30 pagi, sebelum prosiding disambung semula pada sebelah petang hari sama.
Inkues ini dilaksanakan selepas AGC meneliti laporan siasatan polis berhubung insiden yang berlaku pada 16 Julai, apabila Zara ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya sekitar jam 4 pagi.
Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth keesokan harinya, sekali gus mencetuskan pelbagai persoalan serta tekanan awam untuk mengetahui punca sebenar insiden yang menimpa pelajar perempuan tersebut.
Inkues ini dijangka memberi ruang kepada semua pihak terlibat untuk memberikan keterangan, dalam usaha merungkai apa yang sebenarnya berlaku sebelum kematian remaja berkenaan.







Comments