top of page

“Kematian Zara Qairina dan Fenomena Krisis Mudah Percaya”

  • E. Guan
  • Aug 18, 2025
  • 2 min read

Tiada siapa menyangka kematian Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, mencetuskan gelombang simpati luar biasa. Namun, ia turut mengundang limpahan maklumat mengelirukan, tohmahan dan spekulasi tidak berasas sehingga menimbulkan seolah-olah “histeria” dalam kalangan masyarakat. Dalam suasana panik sosial itu, orang ramai berduyun-duyun menyertai perhimpunan serta menghadiri solat hajat.


Tohmahan awal yang mengaitkan isteri seorang timbalan menteri atau ahli keluarga kenamaan di Sabah sudah pun dinafikan lebih awal. Siasatan polis juga menegaskan tiada orang kenamaan terlibat dalam kes ini. Tetapi, persoalannya: adakah masyarakat percaya?


Kekeliruan ini diperburuk kerana tiada penjelasan segera daripada agensi kerajaan atau pemimpin negara. Ruang kosong itu dipenuhi maklumat palsu — kononnya mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh atau wujud rakaman video rahsia. Akibatnya, 15 kertas siasatan dibuka terhadap pelbagai dakwaan tidak benar, termasuk kes seorang wanita mendakwa mangsa dibuli dalam mesin basuh.


Daripada laporan mati mengejut pada 16 Julai, hingga keengganan ibunya Noraidah Lamat membenarkan bedah siasat keesokan harinya, tiba-tiba timbul tuduhan liar yang mengganggu ketenteraman awam. Naratif yang mendominasi keresahan masyarakat ialah kononnya ada orang kenamaan terlibat dan pihak berkuasa cuba menutup kebenaran.


Kerosakan keyakinan masyarakat (crisis of credibility) terhadap kerajaan, pemimpin politik dan pihak berkuasa sejak sekian lama telah menjadikan orang ramai cenderung mempercayai sumber meragukan dan tidak sahih (crisis of credulity). Sekali ada pihak yang menanam keraguan terhadap polis, media atau hospital, keresahan itu berpanjangan. Fenomena sama dapat dilihat dalam insiden kebakaran paip gas di Taman Putra Harmoni pada April lalu.

Dalam kejadian itu, orang ramai menuduh media bersekongkol dengan kerajaan, mendesak nama pemaju didedahkan, serta menuding kepada jengkaut di lokasi kejadian. Walaupun siasatan rasmi pada 30 Jun menjelaskan paip terbakar akibat mendapan tanah dan paip berhampiran premis pembangunan tidak rosak, masyarakat tetap mempersoal dakwaan sendiri — pemaju dan jengkaut!

Hal ini berbahaya kerana jika dapatan inkues kelak tidak seiring dengan jangkaan masyarakat, mereka mungkin terus menolak fakta sahih. Dakwaan awal bahawa ada orang kenamaan terlibat dan kerajaan menutup kes tetap dijadikan pegangan, manakala ulasan di media sosial lebih dipercayai daripada penjelasan rasmi.


Fenomena “krisis mudah percaya” ini boleh dijelaskan melalui beberapa faktor:

  1. Kehilangan kepercayaan pada institusi – legasi maklumat berat sebelah, tidak telus dan manipulatif, termasuk skandal 1MDB yang menjejaskan integriti Jabatan Peguam Negara, SPRM dan polis. Putar belit media konvensional menghakis keyakinan, lalu masyarakat mencari alternatif di media sosial yang bebas tetapi tidak terkawal.

  2. Ledakan maklumat dipacu algoritma – media sosial mengutamakan kandungan emosi, bukan ketepatan. Gelembung pandangan dan “confirmation bias” menjadikan dakwaan palsu lebih meyakinkan berbanding suara rasional yang minoriti.

  3. Merebaknya teori konspirasi – daripada antivaksin, bumi rata hingga ke cerita mangsa masuk mesin basuh, semua dianggap boleh dipercayai. Yang penting bukan logik, tetapi “percaya dahulu”.


Fenomena ini bukan perkara baharu. Dunia telah lama membincangkannya sejak kemenangan Donald Trump pada 2016 dan kejutan Brexit. Karya seperti Mindfck* (Christopher Wylie), The Age of Surveillance Capitalism (Shoshana Zuboff), dan The Anxious Generation (Jonathan Haidt) turut meneliti fenomena ini.


Selagi masyarakat tidak memahami gejala “krisis mudah percaya membuta tuli” ini, selagi itu mereka akan mudah terjebak dalam histeria awam — sebagaimana yang berlaku dalam kes tragis Zara Qairina.

Comments


bottom of page