top of page

Ibu dan Anak Lelaki Maut Disyaki Keracunan Makanan Selepas Hadiri Kenduri Kahwin di Tawau

  • Writer: Camelia K
    Camelia K
  • Aug 14, 2025
  • 1 min read

TAWAU – Seorang wanita berusia 36 tahun dan anak lelakinya berumur sembilan tahun meninggal dunia semalam, dipercayai akibat keracunan makanan selepas menghadiri sebuah majlis kenduri kahwin di sebuah kampung di sini, Sabtu lalu.


Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh, pihak polis menerima laporan berhubung insiden itu daripada anak saudara mangsa yang berusia 24 tahun sekitar jam 10.30 pagi semalam.


“Mangsa dipercayai mengalami simptom keracunan makanan selepas menghadiri kenduri tersebut. Berdasarkan keterangan suami wanita itu, isterinya ada membawa pulang makanan dari kenduri dan beliau sendiri turut mengalami cirit-birit serta muntah-muntah sejak pagi Ahad sehingga petang Isnin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Champin berkata siasatan awal sedang dijalankan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengesahkan punca sebenar kejadian. Pasukan forensik polis turut menjalankan pemeriksaan di lokasi.


Beliau memaklumkan bahawa bedah siasat terhadap kedua-dua mayat telah dijalankan sekitar 6.30 petang semalam dan mendapati tiada sebarang kesan kecederaan luaran pada tubuh mangsa.


“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Siasatan lanjut masih diteruskan termasuk mengambil keterangan daripada saksi lain yang turut menghadiri kenduri tersebut untuk mengenal pasti sama ada mereka turut mengalami simptom serupa,” jelasnya.


Pihak berkuasa kini menunggu keputusan rasmi makmal daripada KKM bagi menentukan punca kematian, manakala keluarga mangsa masih dalam keadaan trauma atas kehilangan dua ahli keluarga serentak.

Comments


bottom of page