top of page

Greta Thunberg Antara Ditahan Selepas Kapal GSF Dipintas Tentera Laut Israel

  • A. Zahid
  • Oct 2, 2025
  • 2 min read

Aktivis hak asasi manusia dan alam sekitar terkenal dunia, Greta Thunberg, antara individu yang ditahan susulan beberapa kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dipintas Tentera Laut Israel di perairan antarabangsa malam Rabu.


Dalam kenyataan rasmi, Kementerian Luar Israel memaklumkan beberapa kapal flotila berkenaan telah dihentikan “dengan selamat” dan semua penumpang sedang dibawa ke sebuah pelabuhan di Israel. Pihak berkuasa turut berkongsi rakaman video yang menunjukkan Greta bersama peserta flotila lain dalam keadaan baik.


“Beberapa kapal flotila Hamas-Sumud telah berjaya dihentikan dengan selamat dan penumpangnya kini dalam perjalanan ke pelabuhan Israel. Greta (Thunberg) dan beberapa peserta flotila berada dalam keadaan baik,” menurut kenyataan di Facebook pada Khamis.

Greta, yang dikenali lantang memperjuangkan hak asasi dan isu kemanusiaan, dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Kehadirannya dalam misi kali ini menarik perhatian global, khususnya berhubung penentangannya terhadap penindasan rakyat Palestin.


Terdahulu, GSF mengecam keras tindakan Israel yang didakwa melanggar undang-undang antarabangsa apabila menghentikan misi bantuan membawa bekalan perubatan dan makanan. Organisasi itu mendedahkan tiga kapalAlma, Sirius dan Adara—telah dipintas, “diculik”, serta dinaiki secara paksa oleh Tentera Laut Israel ketika berada di perairan antarabangsa sekitar jam 8.30 malam waktu Gaza pada Rabu.


GSF turut mendakwa sistem komunikasi kapal-kapal berkenaan disabotaj secara sengaja, menyebabkan siaran langsung di media sosial serta penghantaran isyarat kecemasan tidak dapat dilakukan. Beberapa kapal lain dilaporkan terputus hubungan sejurus insiden berlaku.

Walaupun sebahagian kapal telah dipintas, GSF menegaskan flotila tersebut masih berada kira-kira 70 batu nautika dari pesisir Semenanjung Gaza dan akan meneruskan pelayaran.


Dalam masa yang sama, GSF menggesa kerajaan-kerajaan dunia, pemimpin antarabangsa dan institusi global mendesak Israel menjamin keselamatan semua kru serta membebaskan mereka dengan segera.


Insiden ini menambah tekanan antarabangsa terhadap tindakan Israel di laut, sementara komuniti global terus memantau perkembangan konvoi kemanusiaan yang berusaha menyalurkan bantuan kepada penduduk Gaza.

Comments


bottom of page