top of page

Gabenor Bank Negara: Lebihan Akaun Semasa Malaysia Kekal Sehingga 2.5% daripada KDNK Tahun Ini

  • Ramesh S
  • Aug 15, 2025
  • 2 min read

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Lebihan akaun semasa Malaysia dijangka kekal antara 1.5 hingga 2.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour hari ini.


Ini berikutan lebihan akaun semasa yang lebih kecil sebanyak RM300 juta, atau 1 peratus daripada KDNK, direkodkan pada suku kedua 2025 (2Q 2025), terutamanya disebabkan faktor kitaran seperti penyelenggaraan terancang yang menjejaskan pengeluaran komoditi.

Keadaan itu telah menyebabkan penurunan eksport berkaitan perlombongan sebanyak RM5.1 bilion berbanding suku sebelumnya, selain peningkatan ketara dalam import modal susulan pelaksanaan pelaburan pusat data.


“Secara keseluruhan, lebihan akaun semasa pada separuh pertama tahun ini (1H 2025) kekal sihat pada 1.7 peratus daripada KDNK berbanding 0.9 peratus pada 1H 2024,” kata Abdul Rasheed pada sidang media selepas mengumumkan prestasi ekonomi Malaysia bagi suku kedua 2025 di sini hari ini.


Beliau menjelaskan bahawa peningkatan import modal ini akan mengukuhkan eksport Malaysia dalam jangka panjang kerana operasi pusat data dijangka menyumbang kepada eksport perkhidmatan.


“Kita sudah mula melihat kesannya. Selain itu, peningkatan hasil pelancongan berikutan pertambahan kemasukan pelancong dijangka membantu mengurangkan lagi defisit akaun perkhidmatan,” katanya.


Abdul Rasheed turut menjangka perkembangan positif ini berterusan hingga 2026, selari dengan inisiatif kerajaan seperti penambahbaikan rangkaian penerbangan dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.


Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidi, yang turut hadir, memaklumkan bahawa pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia pada 2Q 2025 mencatatkan aliran masuk lebih kecil iaitu RM1.6 bilion berbanding RM15.6 bilion pada 1Q 2025, terutamanya disebabkan aliran masuk berterusan dalam suntikan ekuiti dan instrumen hutang yang lebih tinggi.


Namun, aliran masuk ekuiti dan hutang ini sebahagiannya diimbangi oleh aliran keluar dalam pelaburan semula keuntungan, berikutan pembayaran dividen yang tinggi serta kerugian yang dicatatkan oleh beberapa syarikat asing dalam sektor pembuatan.


“FDI ini disalurkan terutamanya ke sektor perkhidmatan, khususnya aktiviti kewangan serta subsektor maklumat, komunikasi dan telekomunikasi. Pelaburan ini datang terutamanya dari Singapura, Jepun dan United Kingdom,” kata Mohd Uzir.

— Bernama

Comments


bottom of page