top of page

Fasiliti Utama Dipantau Rapi Susulan Gempa Bumi Lemah di Segamat – Exco Johor

  • Writer: Camelia K
    Camelia K
  • Aug 27, 2025
  • 1 min read

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor menggerakkan pemantauan segera ke atas semua fasiliti utama negeri termasuk jambatan, jalan raya dan empangan selepas gempa bumi lemah berukuran 3.2 magnitud melanda Segamat pagi tadi.


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pemantauan dilakukan secara menyeluruh oleh agensi teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ).


"Langkah ini bagi memastikan semua struktur berada dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kerosakan serius berlaku. Pihak Petronas turut akan menyerahkan laporan berkenaan status aset serta fasiliti mereka yang terletak dalam radius terlibat," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada, menjauhi kawasan atau bangunan tinggi buat sementara waktu dan mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan diri dan keluarga.


Gempa bumi lemah yang berlaku pada jam 8.59 pagi itu turut dirasai di beberapa kawasan lain di Johor serta bahagian selatan Pahang, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).


Insiden pagi ini merupakan kejadian kedua dalam tempoh kurang seminggu, selepas Segamat dilaporkan turut mengalami gegaran lemah bermagnitud 4.1 pada 24 Ogos lalu. Gegaran susulan turut direkodkan pada hari sama di Yong Peng, sejauh 28 kilometer dari barat laut Kluang, dengan kekuatan 2.8 magnitud.

Comments


bottom of page