top of page

Farah Lee Laporkan Kehadiran Dron Ketika Misi Flotilla ke Gaza

  • Writer: Camelia K
    Camelia K
  • Oct 1, 2025
  • 1 min read

KUALA LUMPUR, 1 Okt — Personaliti media sosial dan aktivis kemanusiaan, Farah Lee, melaporkan kehadiran beberapa dron yang berlegar di ruang udara kapal yang sedang dinaikinya dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.


Dalam kemas kini yang dikongsikan sekitar jam 2.30 pagi waktu Malaysia, Farah memaklumkan bahawa jumlah dron yang mengelilingi bot mereka semakin meningkat, namun keadaan kekal terkawal.


“Farah sekarang tengah night watch, dan malam ini banyak increase number of drones, activities. Dron sudah banyak atas kami, berlegar-legar di sekeliling bot kami,” tulisnya menerusi hantaran yang dimuat naik ke media sosial.


Setakat ini, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku, dan para aktivis di atas kapal dilaporkan berada dalam keadaan bersiap siaga namun tenang.


Misi GSF merupakan konvoi kemanusiaan antarabangsa yang menghimpunkan aktivis dari pelbagai negara dengan tujuan menyampaikan bantuan serta solidariti kepada rakyat Palestin yang terus terjejas akibat konflik dan sekatan yang berpanjangan di Gaza.


Konvoi dijangka memasuki zon merah dalam masa terdekat setelah melalui zon kuning, dengan kawalan keselamatan dilaporkan semakin ketat di kawasan perairan yang sedang dilalui.


Farah Lee yang aktif berkongsi perkembangan misi di platform media sosial berjaya menarik perhatian dan sokongan ramai terhadap usaha solidariti global ini. Kehadirannya sebagai wakil Malaysia memperkukuh lagi suara antarabangsa yang mendesak penyelesaian terhadap krisis kemanusiaan yang berlarutan di Gaza.

Comments


bottom of page