Dua Ditahan Susulan Acu Pistol Tiruan Selepas Kemalangan di KL
- TW
- Jul 3, 2025
- 1 min read
KUALA LUMPUR, 3 Julai 2025 – Dua lelaki berusia 19 dan 27 tahun kini direman selama empat hari selepas disyaki mengacukan pistol tiruan ke arah seorang lelaki susulan kemalangan jalan raya di Taman Desa malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Ku Mashariman Ku Mahmood, mangsa yang berusia 28 tahun melaporkan bahawa keretanya, sebuah Honda City, dilanggar oleh sebuah Toyota Yaris merah di bahagian cermin sisi kanan sekitar pukul 11 malam. Pertengkaran antara kedua-dua pemandu berlanjutan hingga lebih sejam sebelum pemandu Yaris tersebut didakwa mengeluarkan dan mengacukan pistol hitam ke arah mangsa.
Hasil pemeriksaan pihak polis mendapati senjata yang digunakan adalah pistol mainan yang dibeli menerusi aplikasi TikTok dan dimiliki oleh salah seorang suspek. Suspek ditahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas ugutan jenayah dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.
Perintah reman ke atas kedua-dua individu berakhir pada Sabtu ini ketika proses siasatan dijalankan.



Comments