Bumbung Sekolah Rosak Dilanda Ribut, 207 Murid SK Seri Perlis Belajar Dari Rumah
- Adi Dit
- Aug 26, 2025
- 1 min read
KANGAR, 26 Ogos 2025 – Ribut kencang yang melanda semalam menyebabkan sebahagian bumbung Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Perlis diterbangkan angin, memaksa 207 murid sekolah itu meneruskan pembelajaran secara dalam talian buat sementara waktu.
Insiden berlaku kira-kira jam 5.20 petang dan menjejaskan beberapa blok kelas. Antara yang terlibat ialah dua kelas Tahun Satu dengan 70 murid, dua kelas Tahun Dua (74 murid), sebuah kelas prasekolah dengan 25 murid serta lima kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang membabitkan 38 murid.
Pengarah Pendidikan Negeri, Rose Aza Che Arifin, berkata pihak sekolah segera memaklumkan keadaan itu kepada ibu bapa dan penjaga, manakala Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sudah mengemukakan permohonan peruntukan kecemasan kepada Kementerian Pendidikan bagi membolehkan kerja baik pulih dijalankan.
“Kami mahu memastikan proses pengajaran tidak terhenti. Guru diminta terus memantau PdPR supaya murid tidak tercicir sepanjang tempoh ini,” katanya.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, turut memberi jaminan bahawa laporan penuh berhubung kerosakan sedang disediakan, dan dana bencana akan segera disalurkan bagi mempercepatkan proses pembaikan.
“Alhamdulillah tiada murid atau warga sekolah yang cedera. Keutamaan sekarang ialah keselamatan semua pihak dan mempercepatkan pemulihan sekolah,” tulis beliau di Facebook.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, mengesahkan kejadian tersebut. Beliau memaklumkan sebuah kereta rosak selepas ditimpa serpihan bumbung yang diterbangkan ribut.



Comments