Bomba Johor Laksana Operasi Susulan Insiden Bau Kimia di Pasir Gudang
- Camelia K
- Oct 1, 2025
- 1 min read
PASIR GUDANG, 1 Okt — Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menjalankan operasi susulan selepas menerima laporan berhubung pencemaran bau kimia di sebuah kilang di Jalan Platinum, malam tadi.
Dalam kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Johor, panggilan kecemasan diterima pada jam 11.11 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang bersama Unit HAZMAT dari Balai Larkin digerakkan ke lokasi sejauh tiga kilometer dan tiba lima minit kemudian.
Setibanya di lokasi, pasukan operasi mengesahkan berlaku insiden pencemaran bau kimia yang melibatkan tiga mangsa. Namun, maklumat lanjut mengenai mangsa tidak dapat diperoleh kerana mereka telah dibawa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum bomba tiba.
Pasukan HAZMAT menjalankan pemeriksaan menyeluruh di kawasan kilang dengan bantuan tiga anggota serta seorang juruteknik kilang. Pemeriksaan dilakukan menggunakan peralatan perlindungan diri lengkap bersama satu unit Gas Mate dan dua unit GFG Gas Detector.
Keputusan pemantauan mendapati kepekatan gas hidrogen sulfida berada pada tahap 8.9 ppm. Sebagai langkah kawalan, pasukan turut menjalankan kerja ventilasi menggunakan kipas khas milik kilang dan semburan fogging meliputi kawasan seluas 10 meter persegi.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.37 pagi selepas bacaan udara kembali normal dan kawasan disahkan selamat.
Keseluruhan operasi membabitkan 13 anggota JBPM bersama satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan RRV.



Comments