BNM: Penstrukturan Semula Insurans Perubatan Sedang Berjalan, Pelan Baharu Dijangka 2026
- Ramesh S
- Aug 15, 2025
- 1 min read

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Langkah sementara bagi mengawal kenaikan kos perubatan kekal berkesan, manakala inisiatif yang sedang dilaksanakan akan memperkukuh sistem penyampaian penjagaan kesihatan serta membantu mengawal inflasi insurans perubatan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata, sepanjang tiga tahun lalu, kerajaan telah melaksanakan lima teras utama dan 11 syor bagi menambah baik perkhidmatan perubatan, memperkukuh pelaksanaan, dan menangani kenaikan kos premium insurans kesihatan.
“Sebagai contoh, kami sedang merombak produk insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT). Anda mungkin akan dapat melihat produk asas baharu. Ia sedang diuji secara berperingkat,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2025 di sini hari ini.
Penstrukturan semula MHIT ini melibatkan reka bentuk semula produk asas yang dijangka siap hujung tahun ini dan akan diperkenalkan di kawasan terpilih tahun depan.
Abdul Rasheed berkata, inisiatif lain termasuk memperkukuh sistem kesihatan digital, memperluas pilihan rawatan kesihatan kos efektif, memanfaatkan penyedia penjagaan primer untuk mengurangkan kos pelaksanaan, serta mengubah mekanisme pembayaran penjagaan primer melalui penggunaan alat digital.
“Usaha-usaha ini dijangka dapat mengurangkan kos pembayaran dan memastikan sistem kesihatan yang lebih mampan,” katanya.
Disember lalu, BNM mengumumkan langkah sementara bersama industri insurans dan takaful bagi membantu pemegang polisi yang berdepan semakan premium bagi produk MHIT mereka, bertujuan meringankan beban kewangan segera tanpa menjejaskan perlindungan.
— Bernama



Comments