Anwar Umum Harga RON95 Turun Kepada RM1.99 Bermula 30 September
- E. Guan
- Sep 22, 2025
- 1 min read
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa rakyat Malaysia layak menggunakan petrol RON95 sebanyak 300 liter sebulan melalui inisiatif BUDI95. Namun, beliau menjelaskan pemandu e-hailing dikecualikan daripada had tersebut dan boleh memohon kuota tambahan.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan memutuskan semua warganegara yang memiliki lesen memandu sah berhak menikmati subsidi RON95, tanpa mengambil kira tahap pendapatan. “Seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), subsidi RON95 tidak akan dinafikan kepada sesiapa berdasarkan pendapatan,” katanya pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan De’Seri Endon, Puspanitapuri, Presint 10.
Berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), lebih 16 juta rakyat dijangka mendapat manfaat daripada BUDI95. Dalam majlis itu, beliau turut mengumumkan harga RON95 ditetapkan pada RM1.99 seliter bermula 30 September 2025 bagi warganegara, manakala bukan warganegara perlu membayar RM2.60 seliter pada tarikh sama.
“Subsidi ini khas untuk rakyat Malaysia sebagai penghargaan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Mulai 30 September, bukan warganegara serta syarikat besar tidak lagi layak menerima subsidi,” jelasnya.
Selain itu, anggota polis dan tentera akan mula menikmati subsidi RM1.99 pada 27 September, manakala penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 September bagi mengelakkan kesesakan.
Anwar turut mengingatkan rakyat supaya memastikan cip MyKad berfungsi serta memiliki lesen memandu sah untuk menggunakan kemudahan BUDI95. Beliau menjelaskan tiada pendaftaran khas diperlukan — hanya MyKad digunakan ketika pembelian. Stesen minyak akan menyediakan pembaca MyKad di kedai dan pam, selain pilihan digital melalui Touch ’n Go dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel.
Beliau turut membandingkan harga minyak Malaysia dengan negara lain: Arab Saudi (RM2.61), Indonesia (RM3.22), Filipina (RM4.22), Thailand (RM5.68), dan Singapura (RM9.02). “Di rantau ini, harga minyak negara kita antara yang terendah, hanya Brunei sedikit lebih rendah,” katanya.







Comments