30 Kapal Global Sumud Flotilla Terus Mara ke Gaza Walau Lapan Dipintas Tentera Laut Israel
- A. Zahid
- Oct 2, 2025
- 2 min read
Sebanyak 30 buah kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) masih meneruskan perjalanan ke Gaza walaupun lapan kapal daripada konvoi itu telah dipintas oleh Tentera Laut Israel sebaik sahaja memasuki zon merah.
Perkara tersebut disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, menerusi hantaran ringkas di Thread. “30 buah kapal masih mara ke Gaza pada saat ini,” katanya.
Menurut kenyataan rasmi Global Sumud Flotilla, lapan kapal yang disahkan dipintas ialah Deir Yassine/Mali, Huga, Spectre, Adara, Alma, Sirius, Aurora dan Grande Blue. Penahanan berlaku pada jam 2.03 pagi waktu Malaysia apabila kapal-kapal berkenaan dipintas di perairan antarabangsa ketika konvoi menuju ke Gaza bagi melaksanakan misi bantuan kemanusiaan.
Kementerian Luar Negeri Israel dalam kenyataannya menuduh konvoi itu sebagai tindakan provokatif serta menggesa kapal-kapal terbabit mengubah haluan. Israel mendakwa mereka sendiri akan menghantar bantuan terus ke Gaza, selain memberi amaran konvoi berkenaan menghampiri “zon pertempuran aktif” dan didakwa melanggar sekatan laut yang ditetapkan.
Sementara itu, beberapa sukarelawan sempat menghantar mesej melalui media sosial sebelum hubungan terputus. Mereka mendakwa tentera Israel menggunakan meriam air bagi menghalang bot daripada mara, selain berlaku cubaan sabotaj terhadap beberapa kapal.
Antara individu yang turut ditahan ialah aktivis alam sekitar terkenal dari Sweden, Greta Thunberg, yang disahkan telah dibawa ke sebuah pelabuhan Israel bersama sukarelawan lain.
Insiden ini menambah siri ketegangan terhadap misi kemanusiaan ke Gaza, selepas beberapa laporan sebelum ini menyatakan kapal GSF berdepan tembakan meriam air, tindakan sabotaj serta penahanan secara paksa.
Pihak antarabangsa termasuk badan kemanusiaan dan pertubuhan politik di Malaysia telah mengecam tindakan Israel, sambil menggesa kerajaan serta masyarakat dunia bertindak segera membela para sukarelawan.
Walaupun berdepan halangan keras, baki 30 kapal dalam konvoi GSF masih kekal berlayar menuju ke Gaza, menandakan tekad berterusan aktivis global untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang terperangkap dalam konflik berpanjangan.



Comments