top of page

3,768 Kes Keganasan Rumah Tangga Direkod Setakat Jun 2025, 73% Mangsa Adalah Wanita

  • Writer: Camelia K
    Camelia K
  • Aug 20, 2025
  • 2 min read

IPOH – Sebanyak 3,768 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, dengan majoriti mangsa adalah wanita. Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan bahawa 73 peratus atau 2,751 kes melibatkan mangsa wanita, manakala 1,017 kes atau 27 peratus membabitkan mangsa lelaki, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad.


Menurut beliau, golongan berumur antara 36 hingga 45 tahun merupakan kelompok yang paling terkesan dengan isu ini. Negeri Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 687 kes, diikuti Perak (653), Johor (440), Kedah (379), Sabah (289) dan Sarawak (277). Perlis menjadi negeri dengan jumlah kes paling rendah iaitu 39 kes.


“Saya ingin nasihatkan mangsa-mangsa agar jangan takut untuk tampil membuat laporan. Ramai yang akhirnya menyesal kerana keganasan sudah melarat sehingga membawa maut. Semakin banyak advokasi kita jalankan, semakin ramai yang berani melaporkan,” katanya selepas merasmikan Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita @ Keganasan Rumah Tangga yang berlangsung di Ipoh hari ini.


Noraini turut mendedahkan bahawa di Perak sahaja, sebanyak 842 kes dilaporkan sepanjang tahun lalu. Tahun ini, jumlahnya mencatatkan peningkatan ketara, dengan 425 kes direkodkan sehingga April, berbanding hanya 175 kes dalam tempoh yang sama pada 2024.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited untuk memperkukuh dasar, undang-undang dan mekanisme sokongan bagi membantu mangsa-mangsa keganasan rumah tangga.


Antara usaha penting termasuklah memperluaskan kesedaran, memberikan keyakinan kepada mangsa untuk bersuara dan menyediakan ruang pemulihan yang selamat dan mesra komuniti.


“Melalui program Aku Wanita@KRT, kita dekati masyarakat dengan aktiviti berimpak tinggi. Komitmen kita jelas — mencegah, melindungi dan memulihkan. Tiada siapa yang akan tercicir dalam sistem sokongan ini,” katanya.


Isu keganasan rumah tangga terus menjadi cabaran sosial utama negara, dan angka yang meningkat saban tahun membuktikan bahawa pendekatan holistik dan kolaboratif semua pihak adalah amat diperlukan.

Comments


bottom of page